Search

Hari ini Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, YABhg...

  • Share this:

Hari ini Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, YABhg Tun Jeanne Abdullah, telah merasmikan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia di Kampung Pandan, KL. Projek ini amat bermakna dan bersejarah kepada arena sukan negara amnya, dan atlet-atlet paralimpik tempatan khasnya. Ini juga merupakan satu manifestasi bahawa kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa berusaha memastikan atlet paralimpik mendapat kemudahan, layanan dan hak yang sama sebagaimana yang diperolehi atlet-atlet biasa.

Projek ini bukan sahaja merupakan pusat sukan paralimpik yang paling canggih di Asia Tenggara, tetapi juga bakal menjadi mercu tanda kepada usaha kerajaan untuk memartabatkan sukan OKU di negara ini agar seimbang dengan pencapaian atlet berkemampuan biasa sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Dato Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersetuju dan membuat keputusan untuk menjalankan projek ini pada tahun 2008, serta bekas menteri yang terdahulu dari saya, Dato Seri Ahmad Shabery Cheek yang memastikan projek ini berjalan dengan lancar.

Pagi ini saya juga mengumumkan pelaksanaan "Program Inspire" yang mensasarkan golongan OKU di peringkat akar umbi di seluruh pelusuk negara untuk menceburi bidang sukan sebagai atlet paralimpik. Di samping usaha Majlis Sukan Negara selama ini yang bertanggungjawab menyelia program sukan elit untuk atlet paralimpik, ‘Program Inspire’ ini akan memberi platform serta akses yang lebih besar untuk golongan OKU bersukan.

Dalam program ini, warga OKU digalakkan untuk menyertai kem-kem yang akan diadakan di 119 daerah di seluruh negara, di mana seramai 30 orang di setiap daerah tersebut akan disaring untuk kem yang dipanggil ‘iTalent’.

Daripada bilangan tersebut, seramai 1,400 peserta akan dikenal pasti untuk menyertai kem ‘iTrain’ yang akan diadakan di setiap negeri. Kem-kem ‘iTrain’ ini akan melatih peserta-peserta dalam mana-mana lima sukan paralimpiad seperti bola sepak tujuh sebelah, olahraga, memanah, bola keranjang kerusi roda, angkat berat, goal ball, ping pong, badminton, boccia, basikal, renang dan boling padang.

Kami berharap bahawa daripada jumlah tersebut, bakat-bakat paralimpik akan dikenal pasti dan diserap ke dalam program sukan elit di mana mereka akan mewakili tanah air dalam mana-mana kejohanan paralimpik dunia.

Saya sekali lagi mengucapkan sekalung tahniah kepada warga KBS di atas pembukaan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia - the new home of Malaysian paralympians - dan berharap agar ia akan dimanafaatkan bukan hanya oleh atlet-atlet paralimpik kebangsaan, tetapi juga golongan OKU lain yang minat untuk menceburi bidang sukan.


Tags:

About author
not provided
Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Ahli Parlimen Rembau, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau. Hanya laman http://www.facebook.com/khairykj adalah laman rasmi. Twitter: http://twitter.com/Khairykj
View all posts